Sejarah Anjing kereta luncur salji

Anjing kereta luncur salji digunakan di negara dan di rantau seperti Kanada, Greenland, Siberia, Chukotka, Norway, Sweden, dan Alaska.[2]

Rusia

Anjing kereta luncur salji yang memakai abah-abah semasa Ekspedisi Jesup di SiberiaSepasukan 11 ekor anjing kereta luncur salji di Taman Negara dan Rizab Alam DenaliHusky yang bersedia untuk menghela di ladang husky di Kuusamo, FinlandSudut pandangan seorang renjer taman yang memandu pasukan enam anjing di Tasik Wonder

Sebuah kajian tahun 2017 menunjukkan bahawa 9,000 tahun lalu, anjing bela jinak hadir di tempat yang kini merupakan Pulau Zhokhov, Siberia timur laut, yang pada masa itu bersambung dengan tanah besar.[3] Anjing itu dibiakbakakan secara terpilih sebagai sama ada anjing kereta luncur salji atau anjing pemburu, yang membayangkan bahawa piawaian anjing kereta luncur salji dan piawaian anjing pemburu wujud bersama-sama. Saiz maksimum optimum untuk anjing kereta luncur salji ialah 20–25 kilogram (44–55 lb) berdasarkan pentermokawalaturan dan anjing kereta luncur salji purba adalah seberat 16–25 kilogram (35–55 lb). Piawaian sama telah ditemukan pada sisa-sisa anjing kereta luncur salji dari rantau ini 2,000 tahun lalu dan dalam piawaian baka husky Siberia moden. Anjing lain adalah lebih besar dengan berat 30 kilogram (66 lb) dan kelihatan seperti anjing yang telah disilangkan dengan serigala dan digunakan untuk pemburuan beruang kutub. Semasa kematian, kepala anjing telah dipisahkan dengan berhati-hati daripada tubuhnya oleh manusia. Ahli antropologi berspekulasi bahawa ini mungkin atas sebab upacara.[4][5]

Babad Kungur dan Badad Remezov, yang masing-masing diwujudkan pada penghujung abad ke-16 dan tahun 1703, menceritakan orang-orang yang tinggal di sepanjang sungai-sungai di Siberia, yang kaedah pengangkutan utama mereka ialah penggunaan rusa kutub atau anjing. Dalam dokumen-dokumen ini, Sungai Olenyok, Sungai Yana, Sungai Indigirka, dan Sungai Kolyma dipanggil "sungai-sungai anjing", kerana kaya dengan ikan untuk dimakan oleh anjing. Sungai tanpa ikan atau yang tidak cukup untuk menyediakan makan kepada anjing dipanggil "sungai rusa", kerana rusa kutub pada masa itu digunakan untuk pengangkutan.

Dari tahun 1940-an hingga tahun 1990-an, bilangan kereta luncur salji anjing Rusia menurun. Populasi baka mencecah paras terendah sepanjang masa iaitu sebanyak 3,000 ekor anjing pada tahun 1998 sebelum usaha kebangkitan bermula. Sebab-sebab penurunan termasuk:

  • pengenalan penjenteraan di Artik
  • pengurangan kapasiti untuk membela anjing, terutamanya dengan penurunan tangkapan ikan dan pengkolektifan pertanian dan penggembalaan rusa kutub.
  • kemerosotan pemburuan bulu.[6][7]

Greenland

Penarikan kereta luncur salji anjing masih lazim digunakan untuk pengangkutan di bahagian-bahagian di Greenland

Orang Inuit Greenland mempunyai sejarah sangat panjang tentang penggunaan anjing kereta luncur salji dan ia masih digunakan secara meluas kini. Setakat tahun 2010, sekitar 18,000 ekor anjing Greenland dibela di Greenland barat di utara Bulatan Artik dan di Greenland timur (kerana usaha pengekalan ketulenan baka yang penting dari segi kebudayaan ini, ia merupakan satu-satunya baka anjing yang diizinkan di rantau-rantau ini) dan kira-kira separuh daripada jumlah ini digunakan secara aktif sebagai anjing kereta luncur salji oleh pemburu dan nelayan.[8] Sebagai hasil daripada pengurangan air batu laut (yang membatasi kawasan penggunaan anjing kereta luncur salji), peningkatan penggunaan kereta salji, peningkatan harga makanan anjing, dan penyakit dalam kalangan sesetengah populasi anjing tempatan, angka itu telah menurun beransur-ansur selama berdekad-dekad dan menjelang tahun 2016 terdapat 15,000 ekor anjing Greenland. Sebilangan projek telah dimulakan dalam usaha untuk memastikan bahawa budaya, pengetahuan, dan penggunaan kereta luncur salji anjing Greenland tidak lenyap.[9]

Peronda Sirius, iaitu unit pasukan khas dalam tentera Denmark, menguatkuasakan kedaulatan wilayah timur laut terpencil yang tidak berpenghuni (yang pada asasnya menyamai Taman Negara Greenland Timur Laut) dan menjalankan rondaan kereta luncur salji anjing jarak jauh, yang turut mencatatkan semua hidupan liar terlihat. Peronda itu melalui purata 14,876 kilometer (9,244 bt) setahun sepanjang tempoh tahun 1978–1998. Menjelang tahun 2011, serigala Greenland telah mendiami Greenland timur semula dari Taman Negara di timur laut melalui rondaan kereta luncur salji anjing ini di sepanjang jarak sehingga 560 kilometer (350 bt).[10]

Amerika Utara

Husky Labrador yang sedang diberi makan oleh orang Inuit

Pada tahun 2019, sebuah kajian mendapati bahawa anjing yang mula-mula dibawa ke Artik Amerika Utara dari Siberia timur laut kemudian digantikan oleh anjing yang menemani orang Inuit semasa perluasan mereka mulai 2,000 tahun lalu. Anjing Inuit ini adalah lebih pelbagai secara genetik dan lebih mencapah secara morfologi jika dibandingkan dengan anjing sebelumnya. Kini, anjing kereta luncur salji Artik merupakan keturunan terakhir di Benua Amerika bagi zuriat anjing pra-Eropah ini.[11]

Sebuah pasukan anjing kereta luncur salji Orang Asli Amerika yang terdiri daripada tiga ekor anjing yang berhampiran dengan Fort Clark, Dakota Utara, dilakar pada 1833

Rujukan sejarah tentang anjing dan abah-abah anjing yang digunakan oleh budaya Orang Asli Amerika bertarikh kembali ke masa sebelum perhubungan Eropah. Penggunaan anjing sebagai haiwan tarikan adalah meluas di Amerika Utara. Terdapat dua jenis utama anjing kereta luncur salji; satu jenis dibela oleh budaya pinggir laut dan jenis lagi satu dibela oleh budaya pedalaman seperti orang Athabaska. Anjing pedalaman ini membentuk dasar bagi husky Alaska. Pedagang Rusia yang menyusuri Sungai Yukon ke hulu pada pertengahan tahun 1800-an memperoleh anjing kereta luncur salji dari kampung-kampung pedalaman di sepanjang sungai itu. Anjing dari kawasan ini terkenal kerana lebih kuat dan lebih baik dalam penghelaan muatan berat berbanding dengan anjing kereta luncur salji asli Rusia.[12]

Pembawa surat Amerika Syarikat dan pasukan kereta luncur salji anjing yang tiba di Seward, sekitar 1912

Kerubut Emas Alaska membawa minat baharu dalam penggunaan anjing kereta luncur salji sebagai pengangkutan.[12] Kebanyakan kem emas hanya dapat dicapai dengan kereta luncur salji anjing pada musim sejuk.[13] "Semua yang bergerak semasa musim beku bergerak dengan pasukan anjing; pencari gali, pemerangkap, doktor, surat, perniagaan, perdagangan, pengangkutan bekalan … jika perlu bergerak pada musim sejuk, itu digerakkan oleh anjing kereta luncur salji."[12] Ini, bersama-sama dengan penggunaan anjing dalam penerokaan kutub, menyebabkan pemberian gelaran "Era Anjing Kereta Luncur Salji" kepada tempoh lewat tahun 1800-an dan awal tahun 1900-an.[14]

Kapsyen berbunyi "Ready for The Long Mush, Seward, Alaska" ("Bersedia untuk Mush Panjang, Seward, Alaska") (klik foto untuk maklumat lanjut) sekitar 1914

Anjing kereta luncur salji digunakan untuk mengirimkan surat di Alaska semasa lewat tahun 1800-an dan awal tahun 1900-an.[15] Malamut Alaska ialah baka kegemaran, dengan pasukan yang berpurata lapan hingga 10 ekor anjing.[15] Anjing mampu mengirimkan surat dalam keadaan yang menghentikan bot, kereta api, dan kuda.[15] Setiap pasukan menghela surat seberat 230–320 kilogram (500–700 lb).[15] Surat itu disimpan di dalam beg kalis air untuk melindunginya daripada salji.[15] Menjelang tahun 1901, laluan anjing telah diasaskan di sepanjang keseluruhan Sungai Yukon.[15] Pengiriman surat dengan kereta luncur salji anjing berakhir pada tahun 1963 apabila pembawa surat terakhir yang menggunakan kereta luncur salji anjing, iaitu Chester Noongwook dari Savoonga, bersara.[15] Beliau diberi penghormatan oleh Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat dalam sebuah upacara di Pulau St. Lawrence di Laut Bering.[15]

Kapal terbang mengambil alih pengiriman surat Alaska pada tahun 1920-an dan tahun 1930-an.[12] Pada tahun 1924, Carl Ben Eielson menerbangkan kiriman surat udara Alaska pertama.[16] Kereta luncur salji anjing digunakan untuk meronda Alaska barat semasa Perang Dunia Kedua.[16] Lebuh raya dan penggunaan trak pada tahun 40-an dan tahun 50-an dan kereta salji pada tahun 50-an dan tahun 60-an menyumbang kepada pengurangan anjing kereta luncur salji pekerja.[12]

Sepasukan enam ekor husky kereta luncur salji yang mendaki di Inuvik, Kanada

Mushing rekreasi muncul untuk mengekalkan tradisi mushing anjing.[12] Keinginan untuk anjing tarikan muatan lebih besar dan lebih kuat berubah menjadi keinginan untuk anjing lebih pantas dengan daya ketahanan tinggi yang digunakan dalam perlumbaan, yang menyebabkan anjing menjadi lebih ringan daripada sebelumnya.[12][17] Orang Amerika dan orang lain yang tinggal di Alaska kemudian mula mengimport anjing kereta luncur salji dari puak-puak asli Siberia (yang kemudian akan ber-evolusi dan menjadi baka husky Siberia) untuk meningkatkan kelajuan anjing mereka sendiri, yang menunjukkan "kontras langsung dengan idea bahawa pedagang Rusia mencari-cari anjing kereta luncur salji lebih berat jenis tarikan dari rantau-rantau Pedalaman Alaska dan Yukon kurang daripada satu abad lebih awal untuk meningkatkan kapasiti penghelaan anjing kereta luncur salji lebih ringan mereka".[12]

Di luar Alaska, kereta tarikan anjing digunakan untuk menghela barang-barang penjaja di bandar-bandar seperti New York.[18]

Skandinavia

Selepas Perang Dunia Kedua, perlumbaan kereta luncur salji anjing gaya skijor dan pulka menjadi semakin popular di Norway dan di negara-negara jiran di Skandinavia.[19] Gaya-gaya perlumbaan ini memerlukan pasukan kecil dan pantas yang terdiri daripada 1–4 ekor anjing yang bertanding di sepanjang jarak pendek berbukit sejauh 15–30 kilometer (9.3–18.6 bt). Dengan syarat untuk menggunakan anjing baka tulen daripada Persatuan Perlumbaan Anjing Kereta Luncur Salji Norway, anjing penuding berbulu pendek Jerman secepatnya muncul sebagai baka anjing pilihan.[19] Pada permulaan tahun 1970-an, "anjing penuding kereta luncur salji" telah muncul, iaitu anjing penuding yang dibiakbakakan secara eksklusif untuk penarikan kereta luncur salji dan bukan perburuan.[19] Semasa tahun 1970-an, perlumbaan kereta luncur salji "gaya Nome", yang mengajuk pasukan anjing kereta luncur salji besar yang berlari di sepanjang jarak jauh dan bermalam dalam suhu di bawah sifar yang terlihat dalam perlumbaan gaya Amerika Utara, mula menarik minat di Skandinavia. Pada tahun 1974, perlumbaan kereta luncur salji gaya Nome yang pertama, iaitu Skjelbreia Sweepstakes, dianjurkan dekat dengan Oslo. Untuk gaya perlumbaan ini, para musher Norway mula mengimport husky Alaska; dipopularkan oleh musher seperti Stein Havard Fjelstad dan Roger Leegaard yang mengembara ke Alaska untuk berlumba dalam Iditarod. Walau bagaimanapun, sebagai baka silang prestasi, husky Alaska tidak boleh untuk perlumbaan menurut peraturan di Norway sehingga tahun 1985, iaitu apabila Persatuan Perlumbaan Anjing Kereta Luncur Salji Norway menyingkirkan syarat bahawa anjing kereta luncur salji mesti anjing baka tulen.[19]

Ketetapan baharu ini juga membuka jalan kepada para musher gaya Nordik untuk membiakbakakan anjing berprestasi terbaik mereka tanpa mengira baka, dengan musher yang mengacukkan husky Alaska dengan anjing penuding berbulu pendek Jerman untuk menghasilkan eurohound serta grehaun dengan anjign penuding berbulu pendek Jerman untuk menghasilkan greyster.[20] Baka-baka silang gaya Nordik ini mendapat kepopularan di serata Eropah dan kemudian di Amerika Utara, terutamanya dengan peningkatan kepopularan mushing tanah kering, seperti bikejoring dan canicross.[21]

Anjing kereta luncur salji dan safari husky adalah tidak asli di Sápmi (Lapland) dan di Finland dan dianggap sebagai gangguan utama oleh para gembala rusa kutub kerana memberikan kesan langsung kepada kehidupan mereka.[22] Ini dan "iglu" berkubah kaca telah dicedok daripada budaya lain oleh industri pelancongan pada tahun 1980-an dan digambarkan secara palsu sebagai sebahagian daripada budaya Sámi dan Finland.[23][24]

Alaska dan Iditarod

Penyertaan Kolonel Ramsay, pasukan kereta luncur salji anjing yang menang dalam All Alaska Sweepstakes Ke-3, John Johnson, pemandu ~ sekitar 1910

Pada tahun 1925, wabak difteria besar telah melumpuhkan Nome, Alaska. Tiada serum di Nome untuk merawat orang yang dijangkiti oleh penyakit itu.[16] Terdapat serum di Nenana, tetapi bandar itu berada sejauh lebih daripada 970 kilometer (600 bt), dan tidak dapat dicapai kecuali dengan kereta luncur salji anjing.[16] Larian berganti kereta luncur salji anjing diatur oleh kampung-kampung di antara Nenana dengan Nome, dan 20 pasukan bekerjasama untuk menyampaikan serum secara berganti-ganti ke Nome.[16] Serum mencapai Nome dalam tempoh enam hari.[16]

Jejak Iditarod diasaskan di laluan di antara kedua-dua bandar ini.[16] Jejak Iditarod dinamai sedemikian kerana, pada masa itu, Iditarod ialah bandar terbesar di laluan itu.[16] Semasa tahun 1940-an, laluan itu tidak digunakan lagi.[16] Walau bagaimanapun, pada tahun 1967, Dorothy Page, yang menganjurkan perayaan seratus tahun Alaska, mengarahkan agar 14 kilometer (9 bt) laluan itu dibersihkan untuk perlumbaan kereta luncur salji anjing.[16] Pada tahun 1972, Tentera Darat Amerika Syarikat melakukan tinjauan terhadap laluan itu, dan, pada tahun 1973, Jejak Iditarod diasaskan oleh Joe Redington, Sr.[16][25] Perlumbaan dimenangi oleh Dick Wilmarth, yang mengambil masa tiga minggu untuk menyelesaikan perlumbaan.[16]

Musher dan anjing memasuki pelongsor penamat Iditarod.

Jejak Iditarod moden ialah perlumbaan ketahanan anjing kereta luncur salji sejauh 1,800 kilometer (1,100 bt).[25] Perlumbaan ini biasanya berlangsung selama sepuluh hingga sebelas hari, jika cuaca mengizinkan.[25] Permulaan bermula dengan upacara permulaan di Anchorage, Alaska pada pagi Sabtu pertama pada bulan Mac, dengan para musher yang berlari sejauh 32 kilometer (20 bt) ke Eagle River di sepanjang Lebuh Raya Alaska, lalu memberi penonton peluang untuk melihat anjing dan musher.[26] Pasukan kemudian diangkut di dalam trak dan dipandu sejauh 48 kilometer (30 bt) ke Wasilla untuk permulaan perlumbaan rasmi pada petang hari.[26] Perlumbaan tamat apabila musher terakhir sama ada keluar daripada perlumbaan atau melepasi garisan penamat di Nome.[25] Pemenang perlumbaan menerima hadiah bernilai AS$50,000.[25] Perlumbaan ini telah digelar "Siri Dunia acara mushing"[27] dan "Perlumbaan Hebat Terakhir di Bumi".[28]

Antartika

Ekspedisi Antartika Roald Amundsen

Penjelajah Artik pertama merupakan lelaki dengan anjing kereta luncur salji.[29] Oleh sebab kejayaan penggunaan anjing kereta luncur salji di Artik, ia dianggap bakal membantu dalam penerokaan Antartika juga dan ramai penjelajah membuat percubaan untuk menggunakan anjing ini.[29] Anjing kereta luncur salji digunakan sehingga tahun 1992, apabila anjing ini dilarang dari Antartika oleh Protokol Perlindungan Alam Sekitar kepada Perjanjian Antartika.[29]Templat:Why

Carsten Borchgrevink menggunakan anjing kereta luncur salji Sámi dengan pengendali Finland di Antartika semasa Ekspedisi Southern Cross beliau (1898–1900), tetapi keadaan adalah jauh lebih sejuk daripada yang dijangkakan di Tanjung Adare.[29] Anjing itu terbiasa dengan kerja di atas salji, bukan di atas ais, dalam suhu lebih ringan.[29] Anjing itu juga tidak diberi cukup makan dan akhirnya semua anjing itu mati.[29]

Erich von Drygalski menggunakan anjing tarikan Kamchatka dalam ekspedisi tahun 1901–1903 dan bernasib lebih baik kerana anjing beliau sudah terbiasa dengan kesejukan dan beliau mengupah seorang pengendali anjing berpengalaman.[29] Anjing beliau diizinkan untuk membiak secara bebas dan banyak anjing terpaksa ditembak kerana tiada ruang di atas kapal untuk membawa anjing tersebut pulang.[29] Banyak anjing yang tidak ditembak ditinggalkan di Kepulauan Kerguelen.[29]

Otto Nordenskjöld berniat untuk menggunakan anjing Greenland dalam ekspedisi tahun 1901–1904, tetapi kesemua kecuali empat ekor husky beliau mati dalam perjalanan ke selatan.[29] Beliau mengambil baka kacuk di Kepulauan Falkland, tetapi selepas ketibaan beliau di Antartika, anjing ini semua diburu dan dibunuh oleh empat ekor husky beliau yang masih hidup yang berburu dalam kawanan kerana kegagalan pengendali anjing Ole Jonassen untuk menambat anjing tersebut.[29] Husky ini kemudian dapat menarik muatan seberat 265 kilogram (584 lb) di sepanjang 29 kilometer (18 bt) dalam tempoh tiga jam setengah.[29]

Robert Falcon Scott membawa dua puluh ekor anjing Samoyed bersama-sama dengan beliau semasa perjalanan tahun 1902 beliau.[29] Anjing itu bergelut dalam keadaan yang dikenakan, dengan empat ekor anjing yang menarik kereta luncur salji terlebih sarat melalui salji setebal 45 sentimeter (18 in) dengan kaki berdarah.[29] Scott menyalahkan ikan kering busuk atas kegagalan anjing itu.[29] Pada tahun 1910, Scott kembali dengan 33 ekor husky Sakhalin tetapi memerhatikan bahawa anjing tersebut pula berprestasi buruk di dalam salji tebal dan ekor terpotong menghalang anjing tersebut daripada melingkar untuk kekal hangat.[29]

Douglas Mawson dan Xavier Mertz merupakan sebahagian daripada Pasukan Timur Jauh, iaitu sebuah pasukan kereta luncur salji yang terdiri daripada tiga orang dengan Leftenan B.E.S. Ninnis, untuk meninjau King George V Land, Antartika. Pada 14 Disember 1912, Ninnis terjatuh melalui krevas berlitup salji bersama-sama dengan kebanyakan catuan pasukan itu, dan tidak pernah dilihat lagi. Peruntukan mereka yang tidak seberapa memaksa mereka untuk memakan anjing mereka yang tersisa dalam perjalanan pulang sejauh 507 kilometer (315 bt). Daging anjing tersebut adalah liat, berurat, dan tanpa sebarang lemak. Setiap haiwan mengeluarkan hasil yang sangat sedikit dan bahagian besar diberi makan kepada anjing yang masih hidup, yang memakan daging, kulit, dan tulang sehingga tiada yang tersisa.[perlu rujukan]

Roald Amundsen, yang ekspedisi Antartika-nya dirancang dengan sekitar 97 ekor anjing kereta luncur salji

Para lelaki itu juga memakan otak dan hati anjing itu. Malangnya pemakanan hati anjing kereta luncur salji menghasilkan keadaan hipervitaminosis A kerana kanin mempunyai toleransi jauh lebih tinggi untuk vitamin A berbanding dengan manusia. Mertz mengalami kemerosotan cepat. Beliau mengalami sakit perut dan menjadi tidak berupaya dan tidak keruan. Pada 7 Januari 1913, Mertz meninggal dunia. Mawson meneruskan perjalanan bersendirian, dan akhirnya kembali ke kem dalam keadaan hidup.[30]

Ekspedisi Roald Amundsen dirancang dengan sekitar 97 ekor anjing Esquimaux (mungkin anjing Eskimo Kanada, anjing Greenland, atau kedua-duanya).[29] Pada percubaan pertamanya, dua ekor anjing beliau mati beku dalam suhu −56 °C (−69 °F).[29] Beliau mencuba buat kali kedua dan berjaya.[29] Amundsen menempuh jarak 27 kilometer (17 bt) sehari, dengan perhentian setiap 4.8 kilometer (3 bt) untuk membina sebuah batu limas untuk menandakan denai itu.[29] Beliau mempunyai 55 ekor anjing bersama-sam dengan beliau, yang ditakai oleh beliau sehingga beliau mempunyai 14 ekor anjing apabila beliau pulang dari kutub.[29] Dalam perjalanan pulang, seorang lelaki berski mendahului anjing-anjing itu dan menyembunyikan daging di dalam batu limas untuk menggalakkan anjing-anjing itu untuk berlari.[29]